Assalamualaikum semua.
 Setelah sekian lama menyepi tanpa info & perkongsian, pada entry kali ni, sy ada sedikit perkongsian yg diambil daripada blog 
abubasyer. Apabila ditimpa ujian @ musibah, pertanyaan seperti ini sering kali bermain di minda kita. Tapi bagi kita sebagai seorang muslim, bersangka baik dengan Allah itu adalah yg utama kerana Allah Maha Mengetahui segala yang kita tidak ketahui. Jom kita hayati jawapan kalamullah atas soalan2 yg biasa bermain di fikiran kita di kala jiwa sesak ditimpa masalah dan musibah...
Soalan pertama : Kenapa aku diuji?
Quran menjawab : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja
mengatakan , kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan  sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka  sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya  Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." 
(Surah al-Ankabut  ayat 2-3).
Setiap ujian yang ditimpakan oleh Allah S.W.T. kepada para hamba-Nya  sebenarnya Dia ingin mengurniakan sesuatu ganjaran yang lebih besar dan  lebih baik. Allah S.W.T. akan menghapuskan dosa-dosanya dan memberi  ganjaran pahala yang besar. Di hari akhirat nanti tidak ada balasan yang  lebih baik melainkan mendapat balasan syurga. 
Soalan kedua : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?
Quran menjawab : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik  bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat  buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah al-Baqarah  ayat 216)
Sseungguhnya sesuatu perkara itu hakikat sebenarnya Allah Maha  Mengetahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu ianya adalah di dalam  ilmu Allah. Yakinilah jika sesuatu doa atau hajat tidak ditunaikan-Nya  ada sesuatu yang lebih baik akan diberi Allah S.W.T. sebagai penganti  apa yang kita hajatkan. Jika tidak dapat di dunia, nanti di hari akhirat  Dia akan memberkannya kepada kita, oleh itu berbaik sangkalah  kepada-Nya. 
Soalan ketiga : Kenapa ujian seberat ini?
 
Quran menjawab : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(Surah al-Baqarah ayat 286)
Allah S.W.T. Maha Mengetahui kemampuan kita sebagai hamba-Nya yang  kerdil, oleh itu apa sahaja yang berlaku keatas diri kita sebenarnya  masih dibawah kemampuan kita untuk menghadapinya. Anggaplah sesuatu  ujian itu dengan fikiran yang positif dan cubalah renungkan bahawa  terdapat orang lain yang lebih berat menghadapi ujian daripada kita maka  dengan itu akan terasa beban yang ditanggung akan menjadi lebih ringan.
Soalan keempat  : Kenapa kita rasa kecewa?
Quran menjawab : "Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula  kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi  darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman".
(Surah Ali Imran  ayat 139)
Yakinlah sifat orang mukmin tidak akan rasa kecewa atau putus asa kerana  orang mukmin akan sentiasa reda dengan Qadak dan Qadar. Jika kita  merasai kita mulia di sisi Allah S.W.T. kerana kita orang yang beriman  dan bertakwa maka akan hilang perasaan negatif ini.
Soalan kelima : Bagaimana harus aku menghadapi kesusahan ini?
 
Quran menjawab : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan  sabar dan mengerjakan solat , dan sesungguhnya solat itu amat berat  kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(Surah al-Baqarah ayat 45)
Benarlah saranan Allah S.W.T. bahawa sifat sabar dan sentiasa  mengerjakan solat wajib dan sunat akan membantu orang mukmin ketika dia  menghadapi ujian dan kesukaran dalam hidup. Dia akan melapangkan fikiran  kita dan melepaskan daripada segala kesusahan ini jika kita istiqamah  dengan bersabar dan menjadikan solat kerana solat adalah doa dan munajat  para hamba kepada Tuhannya.
Soalan keenam : Kepada siapa aku berharap?
Quran menjawab : "Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".
(Surah at-Taubah ayat 129)
Tidak ada tempat lain untuk kita bergantung dan memohon pengharapan  hanya kepada Allah S.W.T. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan  yang mengkabulkan segala doa dan permintaan. 
Soalan ketujuh : Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?
Quran menjawab : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang  mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka".
(Surah at-Taubah  ayat 111)
Tidak ada balasan yang paling berharga yang di miliki oleh manusia yang  bertakwa melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi. Semua ujian  yang dihadapai tidak akan sia-sia kerana Allah S.W.T. telah berjanji  akan memberikan balasan syurga kepada siapa yang sanggup berjihad  dijalan-Nya dengan harta, masa dan nyawa semata-mata mencari  keredaan-Nya. 
Soalan kelapan : Aku tak tahan dengan ujian ini!
Quran menjawab : "...dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat  Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan  kaum yang kafir".
(Surah Yusuf  ayat 12)
Orang mukmin tidak akan putus asa dengan rahmat Allah dan sentiasa  bersabar dengan ujian yang melanda dirinya kerana sifat orang yang putus  asa adalah sifat orang-orang kafir. 
Soalan kesembilan : Sampai bila aku akan merana begini?
Quran menjawab : "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".
(Surah al-Insyirah ayat 5-6)
|  | 
| Allah sebaik-baik pertolongan & pengharapan | 
Benar apa yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa setiap kesusahan itu akan  ada kebahagiaan . Allah S.W.T. Maha Adil dan tidak pernah menganiaya  hamba-hamba-Nya dan akan sampai pula masanya Dia akan memberi  pertolongan dan memberi kemudahan. Ingatlah bahawa pertolongan Allah  S.W.T. cukup dekat bila kita baik sangka dengan-Nya.