Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Aug 11, 2011

Sebelum Nikah..


 “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”
Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21 ini telah membuktikan bahawa percintaan itu perlu untuk tujuan perkahwinan dan dibenarkan untuk mempunyai rasa kasih dan sayang sebelum wujudnya ikatan perkahwinan tersebut.

Namun mesti ingat! Ada syarat tertentu yang perlu dijadikan panduan dan sempadan agar lelaki dan perempuan dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain, dalam batasan agama demi mendapat dan merasai kesesuaian hidup sebagai suami dan isteri dengan pasangan masing-masing.

Secara mudah, tiga aspek utama mesti dititikberatkan dan diambil perhatian iaitu tatacara pergaulan, tatacara pertuturan dan tatacara luahan perasaan.

Menyentuh mengenai pergaulan, bercinta dan bertunang sama sekali tidak memberikan kebebasan bergaul seperti telah mempunyai ikatan yang sah. Ramai pasangan yang bercinta dan bertunang pada masa kini bergaul tidak menurut kehendak syarak. 


Mendedahkan aurat kepada pasangan adalah HARAM!. Bukan sekadar mendedahkan aurat malah haram juga bersentuhan apatah lagi bersentuh tanpa alas atau lapik. Bersentuhan walau berlapik tetapi jika boleh menimbulkan syahwat , hukumnya juga HARAM!

Contoh mudah, jika kita terpegang anjing atau khinzir, kita mesti menyamak tempat bersentuhan itu dan kembali suci, malangnya jika kita bersentuh dengan pasangan kita, nauzubillah.. perlunya bertaubat dan meminta ampun dari Allah SWT!.

Dari segi pertuturan pula, jika cara bercakap, bergurau dan apa sahaja yang boleh menimbulkan keghairahan pihak satu lagi atau menyebabkan kelalaian daripada menunaikan tuntutan agama, maka ia dikira melanggar tatacara bercinta menurut syarak.

Sama juga dalam meluah perasaan. Sebelum perkahwinan, berpada-padalah dalam mengungkapkan sayang. Biarlah sekadar memaklumkan perasaan tersebut kepada pasangan. Cuba kita fikir, andainya diluahkan perasaan sayang setiap hari, pasangan kita mesti akan terasa jemu dan ungkapan itu dilihat tiada nilainya lagi. Luahan selepas terbinanya ikatan perkahwinan itu lebih berharga untuk menyemai perasaan sayang dan cinta pada pasangan.

Lebih-lebih lagi jika ada pasangan yang bercinta yang melafazkan keinginan untuk memeluk pasangan, mencium pasangan dan lebih dari itu. Astaghfirullah!! Jangan biarkan keinginan nafsu tersebut menguasai emosi dan minda kita. Ingatlah.. keberkatan dan kebahagiaan di alam perkahwinan bermula dari kita menjaga perhubungan dan ikatan pertunangan dengan sebaiknya.

Perkahwinan adalah amanah dariNya,
jangan nodai amanah suci itu tatkala nafsu menguasai akal.
Fikir-fikirkanlah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...